Entah mengapa, di hari lahir kali ini hati ini sayu sekali.
Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah , tidak dapat mengusir segala kesepian
yang menjengah. Hati terpasung oleh kata-kata Saidina Ali.
‘Manusia semua
tidur, bila mati baru mereka terjaga.’
Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa
kegembiraan yang masih tersisa. Apakah aku masih tidur? Tidur yang sangat
panjang barangkali?
Ya, hari ini ulang tahun kelahiranku. Sudah menjengah angka
21. Bermakna sudah 21 tahun aku bernaung di bawah langit-Mu, Ya Allah. Belum
pun aku teras menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura! Alangkah
berdosanya aku. apakah sisa umur ini masih panjang? Atau, hanya seketika lagi?
aku tidak pasti.
Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur,
hakikatnya umur ini semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah
ditetapkan? Dan hari ini, aku menapak lagi…semakin hampir pada tarikh kematian
yang dijanjikan. Aduh, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari
jadi…selamat pula hari matiku?
Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu, Ya Allah. Walaupun aku
tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah… segala kekuatan
hanya pada-Mu jua. KAU yang Maha Tahu apa yang terbaik buatku. Aku merayu
pada-Mu, Ya Allah pada tarikh ini… untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan
yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang KAU Maha
Pengampun, aku tidak akan datang Ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta.
Apakah aku diterima?
Ya Allah… pada hari ini, aku pinta leraikanlah segala
kekusutan di fikiran ini. Mohon dijinakkan nafsu liar ini. Tenangkanlah gelojak
hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di
pinggiran rahmat-Mu. Walau sering aku lupa, namun aku sentiasa mendamba.
Entah mengapa, gelombang rasa ini sering datang dan pergi.
Gelombang mujahaddah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah
ammarah pula sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini?
Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya Allah, jauhkanlah aku daripada topeng
munafik yang menipu daya ini.
Aku bukanlah Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau
taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun
sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiatul Adawiyah yang sentiasa berkata,
‘sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.’
Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa. Hati ini
sesungguhnya amat keras! Aku cuba menangis dengan berasa kesal, tapi gagal.
Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis? Ya Allah, kerasnya hati
ini! Mohon dilembutkan, ya Rabb. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati
yang ada ini bagaikan sudah mati, Ya Allah.
Aku kembara sudah jauh. Namun kolam hati ini kian keruh.
Beban bertambah berat, diri ini kian penat.. urusan kian payah. Jiwa semakin
gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahir kali ini, aku akan ‘dilahirkan’
semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingati-Mu. Yang mampu hidup
antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap,
minta-minta diampuni.
Buat sahabat, teman dan kenalan… terima kasih atas ingatan
kalian. Pada yang jauh, maafkan diri ini kerana gagal mendekat. Pada yang
hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya, terimalah secebis kata
ini. TERIMA KASIH.
Kata pujangga… kita akan temui semula sesuatu yang kita
hilang di tempat kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa
kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Mudah-mudahan, ini adalah
permulaan yang baik. Allahumma Ameen..
In life, what
sometimes appears to be the end is really a new beginning.
No comments:
Post a Comment