Pages

Followers

Monday, December 26, 2016

Salam rindu buat adinda


Kehadapan perempuan-perempuan yang saya kasihi, meski yang sedarah mahupun bukan sedaging:


Fatin Nurmaisarah - adinda jelita yang meningkat dewasa. Ketahuilah ya benar hidup ini pilihan, benar belaka. Lalu telah kau pilih meneruskan cita demi membanggakan ayahanda bonda serta keluarga. Maka teruskan. Usah dirajakan perasaan pahit dijarakkan berjuta ela, kerana aku pasti kau sesungguhnya wanita perkasa. 


Faizzatul Izzah - adinda yang paling naga namun aku tahu, kau lincah dengan manja yang kau rahsia. Usah dipeduli kata-kata yang tidak halwa telinga. Usah biar jiwa muda itu terus lena, bangkit. Aku pasti kau suatu kelak akan berjaya. Bisa membangga keluarga jauh lebih besar dari kekanda berdua. .

Nur Nadhira - sahabat mulia yang paling indah pernah saya cinta. Usah dibimbang menjadi ketua. Aku yakin kau telah menjaga adinda-adindamu dengan sebaik yang bisa. Kau juga harus terus gagah. Jika bisa tiada tertanggung rasa yang dirahsia, aku sentiasa masih ada sebagai bahu telinga menadah bicara.

Nur Husnina - adinda yang mula aku anggap seperti saudara, usah dikhuatir dengan rahsia Dia. Aku tahu kau bisa mengejar cinta, sama tangkas seperti kau mengejar cita. Teruskan dengan cinta citamu agar suatu masa keluargamu bisa berbesar jiwa memandangmu penuh mulia.

Nur Assyira - adinda berlainan ayahanda bonda namun tetap aku kasih seperti keluarga. Kau juga akan dewasa, melawan dan berkasih dengan dunia. Usah mudah terjerumus dengan mainan dunia, aku juga pasti kau bisa membuat keluarga diangkat mulia dengan santun terjaga.

Moga kalian berada sebaiknya dalam jagaan Dia. Walau ke mana sekalipun langkah yang dibawa.


Salam rindu-- seorang Farah, seorang kekanda.

No comments:

Post a Comment