Acap kali
sesuatu yang kita cinta menjadi sebab ujian daripada Allah.
Justeru,
cintailah sesuatu itu berpada-pada.
Kerana apabila
Allah uji kita dengannya….
kita tidak
terlalu menderita.
Dalam penulisan, sering terjadi sesuatu frasa yang kita
anggap paling INDAH, BERNAS dan HEBAT tetapi sebenarnya tidak sebegitu dalam realiti.
Walaupun selalu diingatkan agar kita melakukan self-editing tetapi frasa
yang kononnya sangat indah itu tidak akan kita buang. Munasabahkah kita
membuang sesuatu yang kita sayang??
Justeru, kita perlukan orang lain menyunting tulisan kita.
dan hanya pada ketika itu sahaja, frasa ‘kesayangan’ kita dipotong atau
diperbaiki. Kill your darling; istilah yang selalu digunakan dalam
bidang penulisan. Hasilnya? Hasil tulisan kita akan menjadi lebih BAIK, BEBAS dan
TEPAT.
Teman, kekadang kehidupan seperti itu juga. Sentiasa ada
individu, pendirian atau pandangan hidup yang kita anggap BENAR tetapi
hakikatnya TIDAK. Walaupun kita cuba bermuhasabah, ia tetap tidak kelihatan
kerana sudah terlalu dekat dengan diri kita.
Cuba… dekatkan sedekat-dekatnya tapak tangan kita ke mata
sendiri. Semakin dekat, semakin kecil radius penglihatan kita dan ia menjadi
semakin kabur. Maka, begitulah dengan sikap, pandangan atau individu yang
terlalu hampir dengan kita… kekadang sudah terlalu hampir sehingga kita menjadi
‘buta’ untuk melihatnya.
Boleh jadi dia seorang teman yang rapat. Tetapi hakikatnya
dia adalah musuhmu yang ketat. Tetapi oleh kerana terlalu ‘sayang’, onarnya
kabur di mata kita. mungkin kerana pandainya dia melayani perasaan dan impian
kita, lalu kita letakkan seluruh kepercayaan padahal dia sedang bersiap sedia
mengkhianati kita.
Mungkin ia sebuah buku, yang kita kelek ke sana ke mari.
Kita baca berulang kali, lalu pengarangnya kita sanjung dan junjung. Namun
hakikatnya, buku itu jauh daripada hidayah, tersasar daripada taufiq Allah.
Sedangkan bertahun-tahun kita sudah berhujah, membuat keputusan dan bertindak
atas suluhan buku yang kabur itu.
Mungkin juga ia sebuah organisasi atau syarikat yang kita anggap
payung dan pelindung, tetapi sebenarnya ia adalah penyekat karier dan kerjaya
kita untuk pergi lebih jauh. Kita sangkakan ia pelindung dari hujan dan
mentari, tetapi rupa-rupanya tidak.. ia adalah hijab fikiran dan minda kita
untuk melihat horizon peluang dan ruang yang lebih luas dan dalam.
Boleh jadi ia satu amalan, yang kita anggap sangat
menyelamatkan. Mungkin juga kita gelar ‘status ibadat’ atau status social yang
begitu mententeramkan, melegakan namun tanpa disedari itulah terowong bagi
ujub, riak dan sum’ah mencelah. Rasa baik, tenteram dan aman yang ‘dihadiahkan’
oleh amal dan gelar itu rupa-rupanya membawa kita ke daerah ‘rasa tidak berdosa
atau kurang berdosa’ – satu jurang yang paling ditakuti oleh para solihin dan
mukminin.
Cari-carilah di mana kecintaanmu yang mungkin membutakan
mata hatimu, belajarlah daripada kisah Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan
menyembelih kecintaannya Nabi Ismail a.s – seorang anak yang soleh, taat dan
setia, manakan mungkin menjadi hijab cintanya pada yang Esa?
Teman, aku seperti kamu. Kerap dibutakan oleh cinta.
Siapakah ‘Ismail-Ismail’ dalam hidup kita? carilah semua itu di sebalik
pendirian, prinsip, gelaran, jawatan, amal, teman dan segala yang menjadi
kesayanganmu. ‘Sunting’ tulisan hidupmu dengan imbasan dan suluhan doa.
Mudah-mudahan Allah akan memberikan kita panduan dan keberanian untuk jadi
seperti Ibrahim a.s.. Kill your darling dalam kehidupan!
Sering kita alpa, bahawa yang paling kita cinta itulah kerap
menjadi hijab untuk mendapatkan CINTA. Bukan untuk menimbulkan pertentangan
apalagi dilemma antara cinta manusia dengan cinta Allah… tetapi selalunya
begitulah kita teruji. Lepaskanlah cinta yang kecil untuk mendapatkan cinta
yang besar. Apabila kita mendapat cinta yang besar, cinta yang kecil akan
menyerah dengan rela. Allah mengajar kita supaya kill your darling bukan
untuk mendera, tetapi begitulah yang dinamakan cinta… sentiasa menagih ujian.
Selepas diuji, layaklah seorang hamba mendapat cinta
(manusia) dan cinta (ALLAH) kerana berjaya ‘mengorbankan’ cinta yang kecil demi
cinta yang besar! Katakan TIDAK pada keakuanmu. Katakan pada keegoanmu, KAU
BUKAN AKU!
Kalau tidak kerana kerakusanmu
Tidak begini jadinya hidup ini
Apa salahnya kau pasrah saja kepada
TUHAN?
Tanpa menggamit ringgit dan penghormatan
Tapi kau terlalu….
Segalanya ingin kau genggam ke
tanganmu
Kau bukan aku
Kau tidak pernah melahirkan darah
juangku
Dan aku tidak pernah berhutang setitis pun fikirmu
Tergamak kau bina angkuh berselindung
agama
Kau semai tamakmu atas nama TUHAN
Berapa banyak yang terlena dibuai
mimpi-mimpi ilusi?
Dan kau tegak berdiri di situ memeras
keringat
Kau didihkan air mata ini di sumur
pengorbanan
Dan ribuan lemas sebagai korban
perjuangan
Tapi sayang… kau buta melihat derita
ini
Aku tidak pernah membencimu secara
peribadi
Tetapi kemarahanku akan meledak
Mengapa tergamak kau mungkiri
segalanya?
Keindahan dan kesucian
Keamanan dan kebahagiaan
Yang sekian lama aku dambakan?
Kau bukan aku…
Kau hanya tetamu keliru yang
membungkus diri
Dalam selimut palsu
Sampai terkadang hatimu berbicara atas
maksud syaitan
Ketika aku yakin kau akrab dengan
TUHAN!
Kau bukan aku….
Di mana DIA di hatiku

No comments:
Post a Comment